Jauhi Perhimpunan 9 Julai – Sultan Pahang

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah merayu agar rakyat negeri itu tidak terlibat dengan perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)
2 min read

 






Jauhi Perhimpunan 9 Julai – Sultan Pahang

ROMPIN – Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah merayu agar rakyat negeri itu tidak terlibat dengan perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang dirancang diadakan 9 Julai ini.


Baginda bertitah perhimpunan itu tidak memberi manfaat kepada rakyat, sebaliknya bakal menyusahkan banyak pihak yang selama ini tinggal dalam suasana aman dan harmoni di negara ini tanpa mengira kaum.


“Saya merayu rakyat saya supaya tidak campur tangan dalam hal Bersih ini, bersih ke kotor ke, tetapi sekali ia namanya demonstrasi, memang ia tidak bersih lagi,” titah baginda kepada pemberita selepas merasmikan bangunan pejabat Stesen Institut Penyelidikan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) Muadzam Shah hari ini.


Sultan Ahmad Shah bagaimanapun percaya rakyat Pahang sudah cukup bijak untuk menilai kebaikan dan keburukan menyertai perhimpunan haram itu dan yakin mereka tidak akan melibatkan diri pada hari berkenaan.


Titah baginda, perhimpunan sedemikian tidak sepatutnya berlaku memandangkan Malaysia sudah mengecapi kemerdekaan selama 54 tahun.


“Kita duduk aman makmur antara satu kaum dengan kaum yang lain sudah 54 tahun, jadi tak payahlah ada demonstrasi, dan saya secara peribadinya memang menentang perkara ini, dan kita semua harus tentang habis-habisan,” titah baginda sambil menambah sesiapa yang terlibat dengan perhimpunan itu, perlu dikenakan tindakan sewajarnya, demikian menurut Bernama.


Di KUALA LUMPUR, Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (Pesara Kerajaan), yang mewakili kira-kira 590,000 anggota di seluruh negara, menggesa penganjur perhimpunan haram itu membatalkan rancangan mereka.


Presidennya, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata Pesara Kerajaan bimbang perhimpunan itu didalangi pihak tidak bertanggungjawab dari dalam dan luar negara untuk menekan kepimpinan kerajaan sekarang.


“Perhimpunan haram ini bakal membawa risiko tinggi kerana ia akan mengugat keselamatan negara…apa yang lebih membimbangkan ialah wujudnya pihak-pihak dari luar negara yang turut memainkan peranan dalam perhimpunan.


“Tidak ada sebarang faedah yang dapat dikecapi menerusi perhimpunan haram ini, sebaliknya ia akan menjejaskan kedudukan Malaysia sebagai negara yang aman dan stabil kelak,” katanya kepada Bernama hari ini.


Raja Wan Mahmood berkata kedudukan ekonomi Malaysia jauh lebih baik berbanding 1950-an, jadi tidak ada sebab rakyat perlu memperjudikan masa depan negara dengan menyertai perhimpunan haram yang tidak mendatangkan faedah.


Sehubungan itu, beliau meminta penjawat awam dan orang ramai tidak menyertai perhimpunan itu dan pihak berkenaan perlu menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.


Sementara itu, Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha berkata penganjur perhimpunan haram 9 Julai diperguna parti pembangkang untuk lari daripada isu yang membelenggu mereka serta mengalihkan perhatian orang ramai daripadanya.


Beliau bimbang perhimpunan haram itu akan mencetuskan keadaan tidak stabil dan mengancam keselamatan negara.


“Kita tak boleh menerima sebarang bentuk demonstrasi jalanan yang boleh mencetuskan huru-hara dan mengganggu keamanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Kong, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata orang ramai boleh menilai sendiri pendirian dan dakwaan pembangkang kerana demonstrasi jalanan tidak dapat dipisahkan daripada politik serta keadaan huru-hara.

Anda mungkin menyukai postingan ini

  •  PR Will Defend 12 Muslims Victims Of JAIS RaidTHE 12 Muslims who were having ‘Muhibbah’ Dinner in the Damansara Utama Methodist Church when JAIS raided the premise, might be …
  •  Putrajaya’s Shuffle On Polls Reform Show Cracks In Umno, Say PakatanKUALA LUMPUR:   The Najib administration’s shifting position on a parliamentary select committee…
  •  PR: Pakatan Desak Sidang Parlimen TergemparOleh:Hazayani ZakariaPETALING JAYA, 3 Ogos: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendesak Perdana Menteri memanggil sidang Parlimen tergemp…
  •  Rabun Tanda UMNO Sudah Uzur“Musuh Barisan Nasional (BN) bukan lagi komunis yang bergerak dari hutan, tetapi pergerakan madani yang mempunyai kesedaran politik yang meningkat……
  •  Program Pemutihan PATI – Helah BN Untuk Daftar Pengundi HantuAntara tuntutan BERSIH 2.0 yang terkandung dalam memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong adalah penggunaan dakwat…
  •  PSC Cuma Sandiwara BN@imaaaaann Oh how lucky you r! rasa macam nak pergi sana holiday niii. we love you @NajibRazak !18 minutes ago@NajibRazak Sir, Education Minister is perf…

Posting Komentar