Jangan Pertikai Sekolah Pelbagai Aliran

DAKWAAN beberapa pihak bahawa sistem persekolahan pelbagai aliran menghalang perpaduan rakyat di negara ini mendapat perhatian pengkritik semasa
2 min read

 


Jangan Pertikai Sekolah Pelbagai Aliran

DAKWAAN beberapa pihak bahawa sistem persekolahan pelbagai aliran menghalang perpaduan rakyat di negara ini mendapat perhatian pengkritik semasa, Loh Hon Chew yang menulis mengenainya dalam Nanyang Siang Pau.

Artikel bertajuk ‘Jangan Jadi Buta Sejarah’ disiarkan pada 4 Ogos 2011 dalam ruangan Pendapat Yuanlun di halaman A16.

Apa yang membuat kita merasa terkilan adalah mengenai sikap beberapa pihak yang masih mempertikaikan sistem persekolahan pelbagai aliran.

Mereka menuduh sekolah pelbagai aliran menghalang perpaduan rakyat dan mencadangkan supaya diwujudkan hanya satu aliran iaitu sekolah kebangsaan.

Dikatakan jika sejak kecil kanak-kanak pelbagai kaum diasuh menggunakan hanya satu bahasa iaitu bahasa kebangsaan, sudah tentu menjelang dewasa nanti mereka akan menjadi rakyat yang bersatu padu.

Bagi saya ini adalah pemikiran yang tidak berasas. Cuba kita lihat kembali individu yang membantah atau menyokong perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai lalu.

Kebanyakan mereka sejak kecil belajar bahasa kebangsaan bersama-sama dan menuntut di sekolah aliran yang sama, tetapi selepas dewasa mereka tetap tidak boleh bersatu padu.

Sebenarnya tiada siapa yang boleh mempercayai hujah bahawa jika sejak kecil belajar bersama-sama, menjelang dewasa individu itu akan bersatu padu.

Saya juga musykil dengan orang-orang yang asyik melaungkan supaya dihapuskan sekolah pelbagai aliran, kerana pada masa sama mereka memperjuangkan universiti, kolej, sekolah menengah dan sekolah rendah untuk satu kaum sahaja.

Pendirian itu jelas membuktikan mereka memang tidak mahu melihat semua kaum di negara ini bersatu padu.

Kita juga tidak boleh menerima hujah pihak yang mahu diwujudkan hanya satu aliran sekolah kebangsaan dengan alasan tahap penguasaan bahasa Inggeris di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) sangat lemah sehingga menyukarkan murid berkomunikasi dengan orang luar.

Ini juga tuduhan yang tidak berasas, kerana selama ini keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan jelas menunjukkan bilangan murid cemerlang mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris di SJKC adalah tinggi.

Jika benar penguasaan bahasa Inggeris di SJKC sangat rendah, kenapa tidak tukar sahaja semua aliran sekolah itu kepada aliran sekolah bahasa Inggeris.

Dalam pada itu, daripada sejuta rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, lebih 80 peratus adalah kaum Cina. Kebanyakan mereka termasuk yang telah mengharumkan nama Malaysia di luar negara ialah bekas murid SJKC. Ini bermakna lulusan sekolah itu bukan jaguh kampung.

Oleh itu, kita mahu menasihatkan ahli-ahli politik dan orang yang berkedudukan tinggi dalam masyarakat supaya tidak mempertikaikan sekolah pelbagai aliran yang telah dipersetujui ketika wakil semua kaum menandatangani kontrak sosial. Jika tiada kontrak itu, kita tidak akan merdeka seperti hari ini.

Artikel Berkaitan:

  • Guru Melayu Pemalas, Jumud Antara Punca Cina & Dong Zong Tak Suka Sekolah Kebangsaan
  • PR Jangan Bersekongkol Dengan Dong Zong
  • Nurul Izzah Gesa Kerajaan Respons Status Pajakan Sekolah
  • Komik Transformasi Najib Diedar Di Sekolah-Sekolah
  • Selepas Guna Sekolah, BN Ugut Penerima Bantuan Pula
  • Anda mungkin menyukai postingan ini

    Posting Komentar