MBPJ Wajar Membenarkan Gereja Damansara Utama Beroperasi
ADALAH difahamkan bahawa Gereja Methodist Damansara Utama yang diserbu JAIS telah beroperasi secara haram. Ini kerana kelulusan yang diberikan hanyalah untuk membina pusat komuniti dan bukannya gereja.
Nampaknya kerajaan akhirnya menemui peluang untuk mengambil tindakan terhadap gereja Methodist Damansara Utama.
Tanpa bukti untuk mendakwa gereja berkenaan satu insiden ‘paranoia agama’ pegawai-pegawai JAIS, kerajaan pastinya akan mengambil tindakan melalui MBPJ atas alasan teknikal seperti ini.
Ini merupakan muslihat halus untuk menutup mulut mereka yang tidak menyokong kerajaan.
Gereja tersebut punya hak untuk beroperasi atas nama kebebasan mengamalkan kepercayaan masing-masing sebagaimana termaktub dalam perlembagaan. Kenapa terdapat berat sebelah bila membabitkan agama lain dari Islam? Kenapakah kita merasakan seolah-olah berada di Libya sekarang ini?
Gereja tersebut tidak melakukan apa-apa kesalahan jika tidak kenapakah masih tiada tindakan terhadapnya? Dan kenapa tidak ada pendakwaan dibuat terhadap penganjur Makan Malam Muhibbah tersebut? Kerana ia hanyalah satu majlis komuniti yang jujur. Tidak ada salahnya majlis tersebut – cuma tersalah tempat menurut mereka-mereka yang tiada toleransi agama.
Menteri Besar Selangor wajib menangani perkara ini dengan segera dan sekali gus dengan menunjukkan kepada rakyat bagaimana Pakatan Rakyat memerintah iaitu dengan berpegang kepada perlembagaan mengenai kebebasan memilih termasuklah memilih gereja atau di mana saja sebagai tempat untuk makan malam.
Kita tidak faham kenapa gereja tersebut disalahkan kerana membantu mereka yang memerlukan yang kebetulannya beragama Islam. Kerajaan seharusnya berterima kasih kerana ada manusia-manusia mulia yang membuat kebajikan terhadap mereka yang kesusahan di mana jelas sekali kerajaan telah gagal membantu mereka.
Dengan itu, Menteri Besar wajib masuk campur dan menghalang MBPJ dari menutup gereja tersebut.
Lebih baik lagi jika Menteri Besar boleh menunjukkan sokongan yang sama terhadap program-program muhibbah di masa hadapan – tak kiralah di mana saja ia diadakan iaitu di Kuil Hindu, tokong Buddha, Gereja atau Masjid bagi membentuk kefahaman sesama kita. Ayuh tunjukkan kepada BN bahawa di dalam PR, tempat bukanlah perkara penting tetapi semangat murni menyayangi sesama insan itulah yang lebih penting.
Oleh: Jonathan Ong