Menari Ikut Rentak Barisan Nasional : Perlembagaan Malaysia Makin Lumpuh
PERLEMBAGAAN MALAYSIA, meskipun belum sepenuhnya, kian lumpuh kerana pelaksanaannya terhalang dan dihalang.
Punca kepada fenomena ini ialah keengganan beberapa institusi tertentu yang lebih selesa untuk menari mengikut rentak kerajaan yang memerintah, tegas Profesor Dr Abdul Aziz Bari dalam sesi soal jawab bengkel Perlembagaan di Sarawak Sabtu lalu.
Bengkel yang dianjurkan oleh kumpulan pemikir IDEAS bersama Dewan Pemuda PAS Sarawak itu diadakan di Bintulu.
Aziz berkata rakyat tidak dapat merasai nikmat perlindungan yang disediakan oleh perlembagaan kerana institusi-institusi penting seperti badan kehakiman dan SPR enggan menjalankan peranan mereka sebagaimana yang dihasratkan oleh perlembagaan.
“Perlembagaan telah menyediakan pelbagai perlindungan untuk para hakim dan anggota SPR seperti tidak boleh dibuang kerja dan hak pencen. Tetapi kalau mereka masih tamak dan tidak cukup dengan apa yang disediakan itu apa yang boleh dibuat?” soalnya.
Pakar Perlembagaan itu berkata, rakyat tidak boleh pergi ke mahkamah antarabangsa kerana ini soal dalam negeri dan bukan konflik antara negara.
Sebab itu, tambahnya, rakyat perlu tampil supaya Perlembagaan dapat berfungsi semula.
Bengkel selama empat jam itu turut menyentuh kedudukan negeri Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Aziz berkata segala tuntutan dan persetujuan sekarang dikandung oleh Perlembagaan dan apa yang malang ialah peruntukan yang menekankan kedudukan Sarawak ternyata disalahgunakan, dakwanya.
Contohnya, tambah beliau lagi, peruntukan mengenai imigresen yang digunakan oleh kerajaan negeri untuk menyekat kemasukan mereka yang mahu memperkasakan hak rakyat negeri itu.
Artikel Berkaitan: