Isu JAIS Serbu Gereja: PAS Tetap Bela Agama Lain
TIADA kesangsian lagi bahawa PAS sememangnya sebuah parti yang terbuka dan toleran, tidak seperti UMNO yang dikuasai oleh Melayu rasis lagi tertutup. Ini terbukti dalam isu di mana JAIS menyerbu majlis makan malam di sebuah gereja di Damansara Utama, PAS telah bertindak matang dengan tidak membuat kesimpulan terburu-buru. Malah PAS terlebih dahulu meminta penjelasan dari gereja tersebut yang kemudiannya mengesahkan bahawa mereka hanya menganjurkan satu program muhibbah dan tidak ada kena mengena dengan memurtadkan mana-mana orang Islam.
Jika difikirkan kembali, adalah tidak mustahil jika JAIS berkomplot dengan UMNO untuk memberi gambaran buruk terhadap PAS mengenai peranan parti itu di dalam Pakatan Rakyat di Selangor. Ini bukanlah perkara yang diluar jangkaan kerana selama ini juga, UMNO atau BN bersekongkol dengan semua pihak penguatkuasaan dalam negara seperti sistem kehakiman, polis, SPRM dan SPR.
Malah sumber-sumber dalaman juga ada mendengar desas-desus bahawa UMNO menggunakan ‘Islam’ melalui Jabatan-jabatan Agama Islam seluruh negeri untuk menimbulkan kesangsian umat Islam dan kemarahan bukan Islam terhadap PAS.
Dengan membuat serbuan ke gereja dan menuduh gereja sengaja ingin memurtadkan orang Islam, maka PAS kemudiannya akan dipersalahkan kerana membiarkan ianya berlaku dalam negeri yang diterajui Pakatan Rakyat. Sedangkan rakyat cukup matang untuk tidak mempunyai sedikitpun prasangka buruk terhadap mana-mana agama ataupun bangsa. UMNO tidak boleh menanam semangat rasis dan jumud yang berterusan dalam masyarakat dengan hanya membela agama Islam dan Melayu.
PAS sebaliknya bukan sahaja memperjuangkan Islam tetapi juga semua agama lain, sejajar dengan landskap Malaysia yang bermasyarakat majmuk. Melalui pakatan dengan PKR dan DAP, PAS mampu memastikan kesamarataan total dapat dipraktikkan dan bangsa Melayu yang kononnya ketinggalan dari segi ekonomi akan mampu melonjakkan diri mereka bersaing dengan bangsa-bangsa lain tanpa tongkat lagi. Kesemua peruntukan kerajaan akan diberikan sama rata, tiada lagi kelebihan untuk anak-anak Felda dan tiada lagi tempat ‘simpanan’ untuk anak-anak Melayu di Universiti, sebaliknya semua rakyat dipercayai mampu sama-sama menari dalam apa jua keadaan tanah.
Inilah bukti bahawa PAS komited bersama Pakatan Rakyat untuk merombak semula negara ini agar lebih sesuai dengan zaman.
UMNO sedar akan hal ini yang mana membuatkan mereka semakin takut dengan persahabatan PAS dengan DAP dan PKR yang jauh lebih ikhlas dari persahabatan UMNO dengan MCA dan MIC. Ini kerana masyarakat bukan Islam tahu bahawa walaupun PAS adalah parti yang bertunjangkan Islam namun PAS tidak pernah memusuhi agama lain.
Selama ini pun PAS tidak punya masalah jika Kristian ingin menyebarkan dakwah melalui Injil berbahasa Melayu kerana bagi PAS itu adalah hak mereka sepertimana termaktub dalam perlembagaan. PAS yakin akan kemampuan Ulama-ulama yang ada untuk memastikan agama Islam tidak terjejas walaupun aktiviti penyebaran agama lain dibenarkan.
PAS juga bersedia memberi ruang yang lebih besar untuk penganut agama Hindu dan Buddha untuk melakukan yang sama. PAS percaya majoriti bangsa Melayu baru hari ini bersama-sama PAS dalam menuju Malaysia baru yang lebih Islam, lebih terbuka dan lebih sempurna.
Oleh: Azman Ariffin
Artikel Berkaitan: