Apa Salahnya Makan Malam Di Gereja
Oleh: Jonathan Ong
KENAPA orang Islam pantas merasa cuak jika terdapat aktiviti yang dianjurkan oleh organisasi atau pihak pentadbir agama lain walaupun aktiviti tersebut bukanlah aktiviti keagamaan? Inilah yang berlaku di Selangor semalam apabila JAIS bersama-sama dengan polis menyerbu gereja Methodist di Damansara Utama kerana mendapat maklumat adanya umat Islam yang menghadiri majlis makan malam muhibbah anjuran gereja tersebut.
JAIS nampaknya gagal memahami bahawa gereja-gereja Kristian rata-ratanya amat aktif menganjurkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan bagi penduduk setempat. Antaranya, aktiviti sukan dan aktiviti kebajikan termasuk pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan terhadap binatang. Semua ini bukanlah aktiviti keagamaan tetapi sekadar memikul tanggungjawab sebagai sebahagian anggota masyarakat. Oleh itu, tidak seharusnya timbul apa-apa isu jika ia juga disertai oleh penganut agama lain.
Dengan serbuan yang dilakukan oleh JAIS terhadap majlis makan malam, kita semakin yakin bahawa Malaysia sedang menuju ke arah negara Islam konservatif dan tertutup yang tiada kebebasan beragama. Kes-kes seperti Lina Joy membuktikan bahawa kebebasan beragama hanyalah momokan BN sahaja. Sehinggakan Pengerusi Bersih, Ambiga Sreevaneesan juga dicemuh sebagai pejuang murtad menenggelamkan perjuangan beliau menuntut pilihanraya Bersih.
Kita tidak dapat memahami kenapa makan malam menjadi isu hanya kerana tempatnya adalah di gereja. Bukankah makan malam bersama dengan kaum dan penganut agama lain merupakan satu usaha yang baik untuk mengekalkan semangat muhibbah di kalangan masyarakat Malaysia? Sepatutnya usaha ini disokong oleh JAIS kerana ia mampu membendung prasangka buruk di antara Islam dan Kristian.
Kononnya JAIS mendapat maklumat bahawa makan malam itu bertujuan untuk menarik orang Islam kepada Kristian. Namun, apa buktinya? Apakah ini juga satu tuduhan rambang sepertimana menuduh DAP ingin menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara?
Sepatutnya, agama tidak dijadikan isu langsung kerana ia adalah hak dan pilihan masing-masing sepertimana termaktub dalam perlembagaan. Setiap manusia mempunyai pemikiran sendiri dan bertanggungjawab terhadap pilihan yang dibuatnya, dan ini termasuklah pilihan beragama.
Atas prinsip ini maka setiap pertubuhan agama tidak harus dihalang untuk menjemput sesiapa jua ke majlis yang tidak bersifat keagamaan anjuran mereka. Orang ramai juga tidak harus dihalang untuk menghadiri apa jua majlis di mana mereka mendapat jemputan secara baik. Contohnya, tiada siapa yang mempersoalkan jemputan atau kehadiran orang bukan Islam di majlis berbuka puasa anjuran pertubuhan agama Islam. Kenapa jika sesuatu program itu dianjurkan oleh pertubuhan bukan Islam maka ia menjadi satu isu pula?