Usaha Singkir Koh Diperhebat

AKHBAR milik Umno, Utusan Malaysia terus menyerang presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon dengan laporan hari ini

 


Usaha Singkir Koh Diperhebat

AKHBAR milik Umno, Utusan Malaysia terus menyerang presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon dengan laporan hari ini yang mencabar beliau bertanding di Pulau Pinang bagi membuktikan dirinya masih relevan serta diterima rakyat negeri itu. Kali ini, Utusan memetik kenyataan ahli parlimen Nibong Tebal yang berpaling tadah, Tan Tee Beng yang mendakwa Koh seolah-olah tidak tahu malu apabila terus menyalahkan orang lain semata-mata untuk mempertahankan dirinya yang didakwa telah membawa banyak sumbangan kepada Pulau Pinang sepanjang 18 tahun menjadi ketua menteri.

“Tapi dia (Koh Tsu Koon) buat-buat tak faham dan mendakwa rakyat negeri ini masih menyokongnya. Kalau sokong kenapa boleh kalah dengan majoriti 10,000 undi.

“Oleh itu, saya cabar dia bertanding di Pulau Pinang, jangan menjadi pengecut nak bertanding di Johor atau tempat lain. Kita tengok nanti sama ada dia boleh menang atau tidak,” katanya pada Utusan. Ahad lalu, Utusan memetik Senator Umno Mohamed Ezam Mohd Noor yang melabelkan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu sebagai dangkal kerana terikut-ikut dengan pemimpin pembangkang berhubung isu ugutannya untuk membakar portal berita Malaysiakini dan The Malaysian Insider.

Menurut Mohd Ezam, dia tidak bermaksud untuk membakar betul kedua-dua portal berita itu “tetapi hanya simbolik kemarahan terhadap mereka yang bakar hati umat Islam” berhubung isu murtad.

Kempen menyerang Koh oleh akhbar milik Umno itu sebenarnya bermula minggu lalu apabila mereka menyiarkan laporan bahawa parti Gerakan perlu menukar kepimpinannya dengan menonjolkan muka baru jika mereka serius mahu merampas kembali Pulau Pinang.

Memetik seorang lagi ahli parlimen PKR yang berpaling tadah iatu MP Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd. Hashim, Utusan melaporkan jika BN mahu mengambil balik Pulau Pinang, Gerakan perlu tonjolkan seorang pemimpin baru yang boleh diterima oleh rakyat dan pemimpin berkaliber bagi mencabar kepimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng.”Mungkin pemimpin seperti (Presiden Gerakan) Tan Sri Koh Tsu Koon sudah tidak relevan lagi untuk memimpin Gerakan di Pulau Pinang memandangkan rakyat sudah menolak beliau sejak (pilihan raya umum) 2008,” kata Zahrain dipetik akhbar itu.

Selain itu, Utusan juga memperbesar-besarkan cabaran Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC), Tan Sri Tan Kok Ping kepada Koh supaya berdebat.

Ia berikutan laporan Utusan sebelum itu yang memetik Koh berkata bahawa “Kok Ping buta atau nyanyuk apabila tidak dapat melihat pembangunan yang berlaku di Pulau Pinang sebelum 2008”.

Kedudukan Gerakan dalam BN kini ibarat melukut di tepi gantang. Pada pilihan raya umum 2008, Gerakan hanya mampu memenangi dua kerusi parlimen dan tiga kerusi dewan undangan negeri. Semua kerusi berkenaan juga bukannya dari Pulau Pinang yang pernah menjadi kubu kuat parti itu dan dikuasai mereka sejak 1969.

Koh yang melepaskan jawatan ketua menteri yang dipegangnya selama 18 tahun untuk bertanding kerusi parlimen Batu Kawan pada 2008 tewas dengan majoriti 9,48 5 undi kepada calon muka baru P Ramasamy dari DAP. Bagi membolehkan beliau aktif dalam politik, beliau dilantik sebagai senator dan diangkat menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Bagi sesetengah pemimpin BN, khususnya Umno, tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi tempat kepada pemimpin Gerakan itu suatu tindakan sesia kerana tidak yakin Gerakan mampu ‘bangkit semula’.

Menurut mereka, usaha Gerakan mahupun MCA untuk merampas semula Pulau Pinang mahupun mengembalikan sokongan masyarakat Cina sesuatu yang sukar kerana sebahagian besar masyarakat itu menolak BN yang didakwa tidak ikhlas dalam perjuangan membela rakyat negara ini.

Meskipun pemimpin Umno tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu berkenaan tetapi sebagai organ rasmi parti, segala yang disiarkan Utusan sudah pasti mendapat restu pemimpin peringkat tertinggi Umno, khususnya jika sesuatu isu itu terus berlarutan.

Artikel Berkaitan:

  • PKR ‘Gembira’ Lim Boon Chang Keluar Parti
  • DAP: Musa Tidak Berhak Tuntut Permohonan Maaf
  • Usaha Temukan Najib-Anwar Di Pentas Forum 15 Dis
  • Singkir MB Selangor Cerita Karut
  • Bersama Merampas Pulau Pinang Dari Pakatan Rakyat : UMNO Mohon Maaf Kepada Koh Tsu Koon?
  • Posting Komentar