Perkasa, Pemuda Timbang Balik Perhimpunan?
Pemuda UMNO yang merancang mengadakan perhimpunan Patriot sebagai timbal balas terhadap perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini dijangka akan bertindak menarik diri daripada berbuat demikian.
Pergerakan Peribumi Perkasa Negara (Perkasa) yang turut merancang untuk berhimpun pada tarikh yang sama juga dijangka akan berundur.
Jurucakap Patriot, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberitahu, pihaknya akan membuat satu kenyatan rasmi berhubung perhimpunan Patriot esok.
Manakala Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali memberitahu Mynewshub.my beliau pula akan membuat kenyataan berhubung hal itu dalam beberapa jam lagi.
Bagaiamanapun pihak Bersih 2.0 masih belum mengesahkan sama ada mereka akan patuh dengan permintaan Yang Dipertuan Agong agar demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram tidak diteruskan.
Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam satu titah khas malam tadi menzahirkan hasrat agar perhimpunan Bersih 2.0 tidak diteruskan kerana ia akan membawa impak yang buruk kepada negara.
Baginda secara umum tidak bersetuju dengan sebarang bentuk demonstrasi jalanan.
“Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik,” titah baginda.
Beberapa pihak menafsirkan bahawa jika ada mana-mana kumpulan yang meneruskan rancangan melakukan demonstrasi jalanan, maka ia boleh ditasfsir sebagai menderhaka kepada Yang Dipertuan Agong.