Asyraf: Saya Tidak Rasa Benci, Cuma Mahu Terus Belajar Di UK
LONDON: Sambil menyifatkan semuanya berlaku “dengan begitu cepat”, pelajar Malaysia yang menjadi mangsa rusuhan di Britain baru-baru ini, Muhammad Asyraf Haziq Rossli bertekad untuk meneruskan pengajian di London.
“Semua berlaku dengan cepat,” kata Asyraf di sini semalam.
Laporan BBC menyebut pihak berkuasa London telah menahan seorang lelaki berhubung serangan ke atas pelajar itu di timur London.
Lelaki itu sebahagian daripada sekitar 1,000 orang yang telah ditahan oleh polis Britain sejak dua hari lalu.
Keluarga pelajar berkenaan dijadual berlepas ke London hari ini dengan ditaja oleh Umno, kata ketua penerangannya Datuk Ahmad Maslan, demikian menurut laporan media tempatan hari ini.
Polis London berkata suspek yang dipercayai berusia dalam 20-an sedang ditahan kerana disyaki menyamun di Barking pada malam Isnin lalu.
Serangan ke atas Asyraf, 20, pada Selasa lalu menjadi tajuk utama selepas rakaman kejadian itu disebarkan menerusi YouTube.
Asyraf menjadi sasaran sekumpulan perusuh ketika dia sedang mengayuh basikal ke rumah kawannya.
Kemudian Asyraf yang cedera dibantu oleh sekumpulan belia yang melalui kawasan itu. Berdasarkan rakaman itu, mereka kelihatan membantunya sebelum menggeledah bag sandarnya dan melarikan dompet dan telefon bimbit.
Pelajar dari Kuala Lumpur dibenarkan keluar hospital selepas menjalani pembedahan di bahagian rahang yang patah ketika diserang.
Ketika bercakap kepada pemberita selepas pembedahan, Asyraf dipetik BBC berkata, dia tidak rasa benci dengan nasib dialaminya, sebaliknya mahu kekal di Britain untuk meneruskan pengajian.
Katanya, “keluarga saya bimbang tentang diri saya dan ibu saya mahu saya balik. Tetapi saya mahu kekal (belajar) di sini.”
“Britain sebuah negara yang besar. Sebelum saya datang, saya sangat berminat (untuk datang ke sini) dan saya tiada apa-apa rasa benci tentang apa yang berlaku,” katanya yang turut sedih dengan mereka yang bertindak sedemikian.
“Ia sungguh menyedihkan kerana di kalangan mereka (yang menyerang saya) adalah kanak-kanak,” kata beliau.
Asyraf juga mengucapkan terima kasih ke atas mereka yang mengadakan satu laman khas atas talian untuk mengutip sumbangan bagi dirinya.
Laman dengan tajuk “Let’s Do Something Nice For Asyraf Haziq” dikatakan telah mengumpulkan £4,000 (kira-kira RM20,000) malam kelmarin.
Malam kelmarin, pengalaman Asyraf tentang nasib malangnya, yang dirakamkan di hospital, dimuat naik oleh seorang rakannya.
Dalam rakaman itu, Asyraf berkata, mereka yang menyerangnya mengatakan bahawa mereka ada pisau dan mahu menikamnya.
Katanya, “sesetengah daripada mereka terlalu muda, kemungkinan masih di sekolah rendah.”
“Mereka minta basikal saya,” katanya.
Asyraf menambah, dua budak perempuan dan seorang wanita menghulurkan bantuan kepadanya.
Perdana Menteri David Cameron berkata beliau “meluat” dengan kejadian yang melanda negaranya.
Mara dilaporkan telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan pelajar di kawasan berisiko tinggi di kota itu ke sebuah penempatan di Leicester Square bagi menjamin keselamatan mereka.
Dia, yang dirawat di Royal London Hospital, merupakan pelajar tahun pertama pengajian perakaunan tajaan Mara di Kolej Kaplan.