Apa Erti Di Sebalik Permohonan Maaf Kompas Pada Najib, Rosmah

TELAH berkali-kali penulis menegur para pemimpin Pakatan Rakyat agar berhati-hati mengeluarkan kenyataan agar tidak memakan diri
3 min read

 




TELAH berkali-kali penulis menegur para pemimpin Pakatan Rakyat agar berhati-hati mengeluarkan kenyataan agar tidak memakan diri. Jika ingin menyerang, seranglah secara berdepan atas isu yang nyata bukannya secara rambang dan bertubi-tubi tapi langsung tidak mengena sasaran.


Kini sekali lagi kita berhadapan dengan ‘malu’ apabila akhbar Kompas Indonesia memohon maaf secara rasmi kepada Perdana Menteri atas berita yang terlebih dahulu diwar-warkan oleh pihak kita.


Kompas adalah akhbar terbesar dan paling berpengaruh di Indonesia serta paling ditakuti oleh orang-orang politik di negara republik tersebut. Akhbar tersebut mempunyai reputasi yang baik di mata masyarakat Indonesia kerana kelantangannya mengkritik pemimpin Indonesia sendiri tanpa teragak-agak dan tanpa berlapik langsung.


Oleh itu, tindakan akhbar itu memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta keluarga beliau pastinya membawa makna yang besar iaitu bahawa mereka telah membuat kesalahan yang bukan kecil sifatnya.


Wakil akhbar tersebut, Jimmy S.Harianto, Pengarang Berita Antarabangsa yang menemui Najib telah merujuk kepada penyiaran artikel yang berunsur fitnah apabila menuduh Datin Seri Rosmah Mansor sebagai pemilik syarikat Perimekar Sdn. Bhd. iaitu syarikat yang didakwa membekalkan kapal selam Scorpene kepada TLDM sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali.


Selain itu, Kompas turut mengakui su pembelian cincin bernilai USD24 juta oleh Rosmah sebagai satu kesilapan di pihak mereka kerana ianya tidak bersandarkan fakta mahupun bukti kukuh. Pendek kata, penulisan itu adalah berupa fitnah semata-mata akibat kegagalan pihak mereka untuk menyelidik kebenaran fakta yang diberikaan oleh sumber yang sebelum ini mereka cukup yakini..


Selama ini, Kompas terkenal sebagai akhbar yang tidak takut dengan gertakan mahupun ancaman saman dari mana-mana pihak pun apatah lagi untuk memohon maaf atas berita yang telah disiarkan terutamanya jika yang terlibat ialah pihak luar.


Justeru, tindakan mereka meminta maaf secara rasmi dan pertama kali menghantar wakil khas untuk berjumpa dengan Najib sendiri tentunya membawa makna yang besar iaitu mereka mengaku salah dan berita yang disiarkan adalah palsu dan berunsur fitnah.


Soalnya, siapa yang memberi maklumat kepada wartawan Kompas, Iwan Santosa berkaitan segala tuduhan liar terhadap Najib dan Rosmah? Melalui sumber dalaman, penulis dimaklumkan bahawa berita tersebut didalangi oleh dua pemimpin pembangkang di Malaysia dan selebihnya, Kompas hanya menulis bersandarkan tulisan-tulisan di portal-portal berita pro-PR.


Pihak Kompas juga telah mendedahkan sumber mereka itu kepada pihak kerajaan Malaysia dengan menyatakan sesalan kerana tidak menyangka mereka telah disogok dengan berita palsu oleh sumber tersebut selama ini. Ini kerana pemimpin pembangkang terbabit gagal mengemukakan bukti bagi mengukuhkan berita sepertimana yang dijanjikannya bagi persediaan pihak Kompas menghadapi kemungkinan tindakan dari pihak Malaysia.


Kini, di mana Pakatan Rakyat hendak meletak muka? Hari ini, Pakatan Rakyat bukan sahaja semakin diragui di Malaysia malah nama pemimpin-pemimpin kita juga semakin buruk di Indonesia.


Inilah sebabnya portal ini sering mengingatkan pemimpin Pakatan Rakyat agar berfikir sebelum bertindak dan bukannya menyerang membabi buta asalkan dapat mewujudkan persepsi negatif terhadap musuh kita.


Dalam masa tak sampai dua minggu, terdapat dua atau tiga serangan terhadap kerajaan yang akhirnya memakan diri Pakatan Rakyat sendiri.


Buat kesekian kalinya, Suara Pakatan Rakyat menyeru agar semua portal-portal pro-PR serta pemimpin-pemimpin PR sendiri menghentikan penulisan berita-berita yang tidak benar demi untuk menjaga maruah dan reputasi PR di mata masyarakat dan juga di mata dunia.

Anda mungkin menyukai postingan ini

Posting Komentar